Tuesday, October 19, 2010

PENGENALAN

Surau merupakan satu tempat yang penting bagi setiap umat islam. Peranan surau amat besar dalam masyarakat islam kerana ia merupakan tempat berkumpul umat islam bagi menjalankan pelbagai aktiviti antaranya ibadat seperti solat berjemaah, mengikuti pengajian ilmu, kelas-kelas Al-Quran, Program keagamaan disamping tempat mengeratkan tali silaturrahim sesama muslimin dan muslimat. 

Institusi masjid/surau kini telah berubah kerana dari masa ke semasa peranan masjid bukan lagi sebagai pusat untuk beribadat tetapi lebih dari itu. Kalau dahulu masjid menanti jemaah yang datang tetapi rentak kini memerlukan jemaah di dalam masjid berfikir dan menjalankan gerak gempur bagaimana dapat bersua dari hati ke hati penduduk setempat. 


Jesteru itu, Jawatankuasa yang dilantik memerlukan bantuan dan kerjasama dari seluruh penduduk dan masyarakat islam bagi menyempurnakan amanat ini. Setelah sekian lama Surau Nurul Iman berkhidmat di dalam kawasan Taman Fasa 3A ini, kini ia memerlukan dana bagi pembinaan surau baru bagi menampung keperluan dan keselesaan jemaah yang datang. Dari masa ke semasa melalui aktiviti yang dijalankan, jumlah jemaah yang hadir terutama ketika kuliah mingguan / bulanan bertambah ini menguatkan semangat dan usaha jawatankuasa yang ada bagi menggerakkan usaha kearah pembinaan surau baru. 



SEJARAH PERKEMBANGAN SURAU NURUL IMAN

Seawal pembinaan perumahan Fasa 3A, pihak pemaju perumahan tidak menyediakan surau. Di atas keperluan penduduk perumahan Fasa 3A yang majoritinya terdiri daripada masyarakat islam, satu tempat untuk beribadat seperti solat berjemaah dan pengajian ilmu keagamaan amat diperlukan. Satu pertemuan dan perbincangan diantara jawatankuasa penduduk perumahan Fasa 3A diadakan dan membuat keputusan untuk memohon bangunan pejabat perbadanan kemajuan Negeri Perak yang terletak dihujung perumahan bersebelahan padang permainan tersebut untuk dijadikan surau.

                Dengan mendapatkan kelulusan melalui  plan yang dikemukan kepada pihak Majlis Daerah Manjung, surau tersebut didirikan oleh pihak perbadanan sendiri yang berjumlah sebanyak RM12,000.00 dan pada tahun 1989 iaitu pada hari penyerahan kunci kepada pembeli-pembeli perumahan, surau tersebut diwakafkan sekali oleh pihak Perbadanan melalui Pengurusi surau tersebut.

                Surau tersebut yang diberi nama Surau Nurul Iman dapat digunakan penduduk setempat untuk solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaa serta kemasyarakatan. Hasil kesepakatan dan gotong-royong penduduk setempat, surau Nurul Iman diberi penambahbaikan sedikit demi sedikit demi keselesaan para jemaah untuk beribadat.

                Selain dijadikan sebagai tempat beribadat, surau ini juga berfungsi sebagai pusat kemasyarakatan seperti tempat berlangsungnya upacara akad nikah dan juga berfungsi sebagai tempat menguruskan hal-hal berkaitan kematian memandangkan surau ini juga adalah Penaung kepada Pertubuhan Khairat Kematian, Fasa 3A yang telah ditubuhkan hampir 12 tahun yang lalu.

                Setelah melebihi 20 tahun berfungsi sebagai tempat beribadat, keadaan dan prasana surau Nurul Iman semakin dhaif dan uzur. Keputusan untuk membina surau baru telah dibuat didalam satu mesyuarat jawatankuasa surau sesi 2010-2012 yang diadakan pada Mac 2001. Dan dengan keputusan untuk membina surau baru, dapatlah perumahan Fasa 3A yang mempunyai kira-kira 95% masyarakat Islam menjalankan ibadat dengan sempurna dan selesa.

OBJEKTIF PEMBINAAN SURAU BARU

  • Mengadakan tempat ibadat yang selesa untuk menunaikan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaan.
  • Menjadikan tempat untuk membina dan mendidik sahsiah diri agar menjadi generasi soleh yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.
  • Sebagai pusat penambahan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
  • Sebagai pusat kebajikan masyarakat setempat seperti pengurusan jenazah, kenduri dan gotong-royong.
  • Merapatkan ukhwah/persaudaraan dan mengeratkan silaturrahim dikalangan penduduk perumahan Fasa 3A.